Pages

Friday, August 5, 2011

5 Ramadhan 1432 Hijrah.

Syukur kerana masih diberikan lagi kesempatan oleh Allah s.w.t 
untuk menunaikan salah satu rukun Islam, iaitu berpuasa sebulan di bulan Ramadhan.


Saat mata terlelap, mimpi mengerawang. Ada yang telah pun ke Korea, ada yang telah ke Afrika Selatan, ada juga yang masih di Negeri Sembilan. Begitulah lumrah mimpi, kita bersendiri di dalam dunia separuh mati itu. Tidak perlukan wang ringgit untuk ke negara jiran, cuma bermimpi, maka ter-realisasilah mimpi indah itu. Namun, mimpi cuma tinggal mimpi. Tatkala tersedar- "Ah, mimpi rupanya".

Alhamdulillahhillaziahyanaba'damaamatanawailaihinnusyur. Kalimah yang terus dibaca sejurus mata kuyu terkelip-kelip melihat sekeliling. Terus mempersiapkan diri untuk bersahur. Water heater dibawa bersama. Kaki lemah mengorak langkah. Takut dan tawakal sama-sama bersahabat. Berita kecurian masih tidak dilupakan, lantas menjadikan diri lebih berhati-hati. Mata meliar ke kiri, ke kanan, hadapan, dan juga belakang. memerhati andai ada yang mencurigakan. Alhamdulillah, segalanya baik sahaja.

Air dipanaskan. Yang sunat didahulukan sementara menunggu air masak. Usai semuanya, santapan sahur segera dikeluarkan. Bubur lambuk Balai Islam Al-Muttaqin 'Alhamdulillah', roti gardenier bersama tuna, biskut kering memori zaman kanak-kanak ku, air vico dan makanan yang lain yang berada dalam senarai stok makanan ku. Alhamdulillah, sahur yang sempurna bagi seorang perantau di negeri orang. Teringat kepada ibu di kampung. Saat bersahur, akan dimasak apa yang ada, segala-galanya panas. Ibarat makan tengah hari. Mungkin sebab itu ramai yang ingin berpuasa di rumah, bukan?

Waktu berbuka kian hampir. Terdengar pengumuman dari Balai Islam, yakni surau di IPG kami. Pengumuman bahawa bubur lambuk sudah siap dimasak. Alhamdulillah, harus diambil ni. Buat sahur besok pagi. Langkah kaki dipercepatkan. "Bubur lambuk dah habis". "Hah? Dah habis?". "Ada, ada." Cess, ditipu. Jadi, perasaan gembira lantas melebar ke kalbu. Esok bersahur bubur lambuk lagi. Yay!

Sekian omelan di malam yang hening.



p/s Sahaja aku berpuasa esok hari untuk menunaikan fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah ta'ala.

0 keyboard writings:

Post a Comment